suria

Pekerja Kedai Telefon Didakwa Miliki Kenderaan Curi

PETALING JAYA: Seorang pekerja kedai telefon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki kereta curi jenis Mercedes Benz milik seorang peniaga kereta terpakai, dua minggu lalu.

M.Parthiban, 26, didakwa memiliki kereta curi yang berharga RM200,000 milik Chong Han Chong, 47, di KM9 Jalan Raya Timur Barat, Sungai Lebey, Gerik, Perak, pada 2.40 pagi, 16 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir menawarkan supaya Parthiban dibenarkan diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

Peguamnya Nurul Fatihah Abdul Ghani memohon mahkamah agar wang jaminan itu dikurangkan kerana Parthiban merupakan penanggung tunggal kepada keluarganya.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Okt untuk sebutan kes. BERNAMA

Artikel Lain