suria

Melaka Bakal Miliki Pusat Kanser Ketiga

MELAKA: Hospital Pakar Putra (Melaka) Sdn Bhd, sebuah syarikat Perbadanan Ketua Menteri, akan mewujudkan pusat kanser bernilai RM30 juta bagi kemudahan pesakit khususnya di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata pembinaan pusat itu yang terletak bersebelahan hospital tersebut di Jalan Bendahara di sini, dijangka siap pada 2014.

"Kita akan mengeluarkan tender pada awal September ini dan kontraktor akan dipilih dalam bulan Oktober," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Putra Sdn Bhd di Menara Telekom Malaysia (TM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, Khamis.

Beliau berkata kewujudan pusat itu dijangka turut meningkatkan industri pelancongan perubatan di Melaka selain memberi pilihan rawatan kepada pesakit.

Ini adalah pusat ketiga di negeri ini selepas pusat kanser Hospital Perubatan Mahkota dan Hospital Pantai, katanya.

Sementara itu, Mohd Ali berkata empat lagi Klinik Putra akan dibuka di Jasin, Masjid Tanah, Alor Gajah dan Melaka Tengah menjelang akhir tahun ini.

Klinik di menara tersebut menawarkan pelbagai rawatan kesihatan kepada warga TM dan penduduk berhampiran dengan caj serendah RM30 dan pesakit yang memerlukan rawatan lanjut akan dihantar ke hospital tanpa caj.

Turut hadir Pengerusi TM Berhad Datuk Dr Halim Shafie dan Ketua Eksekutif Hospital Pakar Putra Radhuana Salleh. - BERNAMA

Artikel Lain