suria

Kedai Emas Kerugian RM250,000 Setelah Dipecah Masuk Pencuri

BESUT: Pencuri memecah masuk sebuah kedai emas di Jalan Semerak, Kuala Besut dan melarikan barangan kemas dianggarkan bernilai RM250,000 pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Zakaria berkata kedai emas itu disedari dipecah masuk pada pukul 7.15 pagi Rabu.

"Seorang jiran perniagaan kedai emas itu yang kebetulan mahu memulakan perniagaan ternampak pintu belakang kedai berkenaan ditebuk dan terus memaklumkan kepada anak tuan punya kedai itu," katanya.

Beliau berkata polis percaya kejadian pecah masuk itu berlaku antara 9 malam Selasa dan awal pagi Rabu dan modus operandi mungkin dijalankan oleh sekumpulan pencuri.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sekeping daripada tingkap bahagian dapur kedai berkenaan turut ditanggalkan dan peti besi yang mengandungi barang kemas di dalam kedai tersebut turut ditebuk oleh suspek," katanya.

Kamaruddin berkata tuan punya kedai yang tinggal di Kandis, Bachok itu menutup perniagaan dengan mengunci pintu kedainya sebelum pulang kira-kira 5 petang Rabu.

Katanya setakat ini, belum ada tangkapan dibuat. - BERNAMA

Artikel Lain