suria

Bengkel Kenderaan Musnah Dalam Kebakaran Di Alor Setar

ALOR SETAR: Sebuah bengkel kenderaan di Kampung Mempelam, Mergong di sini musnah dalam kebakaran pada Khamis.

Dalam kejadian 6 pagi itu, tujuh kenderaan iaitu lima kereta dan dua lori yang berada di dalam dan luar bengkel itu turut musnah.

Seorang saksi, Shuib Harun, 51, berkata kebakaran disedari anak perempuannya yang melihat sebuah lori di luar bengkel itu dijilat api.

"Dia memberitahu saya dan saya cuba memadam kebakaran itu dengan menggunakan paip air. Selepas mendapati api padam, saya duduk berehat dan tiba-tiba saya dapati ada api dari dalam bengkel tersebut," katanya.

Beliau kemudian mengejutkan jiran-jiran yang tinggal di rumah berhampiran bengkel tersebut dan bersyukur kerana sempat menyelamatkan seorang warga emas yang lumpuh.

"Nasib baik bomba datang cepat. Kalau tidak mungkin rumah yang berada di belakang bengkel itu turut musnah," katanya yang memberitahu jarak rumahnya dengan bengkel kenderaan tersebut hanya tujuh meter.

Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Mahmad Fauzi Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.04 pagi dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

"Sebanyak lima jentera bersama 20 anggota dikejarkan ke lokasi dan kami turut dibantu oleh enam pasukan bomba sukarela," katanya.

Beliau berkata api berjaya dikawal pada pukul 6.35 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada pukul 10 pagi.

"Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain