suria

M'sia Perlu Satu Polisi Penggunaan Air Yang Bijaksana

AIR adalah kehidupan dan tidak ada kehidupan yang boleh wujud tanpa air. Tanpa makanan, manusia masih boleh lagi bertahan, namun tanpa air, tidak mungkin boleh.

Malangnya, walaupun kita sudah berkali-kali mengalami krisis air tetapi seolah-olah kita tidak pernah mempelajari apa-apa dari insiden tersebut.

Laporan akhbar baru-baru ini melaporkan Selangor sudah mengalami krisis air lebih awal dari yang dijangkakan. Secara amnya yang dimaksudkan dengan krisis air ialah disebabkan oleh senario pembekalan dan permintaan air dengan kapasiti yang tidak dapat ditampung.

Ketika Sesi Penerangan Mengenai Isu-Isu Bekalan Air di Selangor diadakan di sini baru-baru ini, laporan terkini yang dikeluarkan dari Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), menunjukkan bekalan air terawat untuk Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur berada dalam keadaan kritikal, iaitu sebanyak 1.06%.

Sementara kadar penggunaan pula meningkat kepada 4,324.79 JLH (Juta Liter Sehari).

Pendek kata, rizab air sedia ada tidak mampu untuk menampung permintaan air yang semakin meningkat dari hari ke hari.

Sejak El Nino melanda negara kita sekitar tahun 1997/98, kerajaan telah berusaha untuk melaksanakan pelbagai langkah bagi menghadapi atau mengelak berlakunya lagi tekanan bencana El Nino pada masa akan datang.

Kerajaan amat mementingkan isu kekurangan air ini kerana ia akan memberi masalah kepada negara dari segi perkembangan ekonomi dan kemajuan fizikal.

Alasan yang biasa diberikan apabila isu ini berlaku ialah pertambahan penduduk dan pengguna industri komersial menyebabkan permintaan bekalan air bersih semakin meningkat.

Di samping sungai yang dipenuhi sampah sarap mengugat proses air terawat.

Ironinya, kita sering terlupa elemen tidak mensyukuri nikmat yang diberikan merupakan faktor utama kegagalan dalam menangani krisis air.

Buktinya, piawaian antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengesyorkan setiap orang mendapat air sekurang-kurangnya 165 liter sehari.

Namun kajian terbaru menunjukkan setiap rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 310 liter air sehari (LPD).

Jadi, secara purata rakyat Malaysia terlebih mengguna air sebanyak 145 liter sehari.

Sebagai perbandingan, seorang penduduk Afrika secara purata mengguna hanya 50 liter air seorang sehari, penduduk di India pula secara puratanya menggunakan kira-kira 100 liter seorang sehari.

Jiran kita Singapura, seorang rakyatnya menggunakan kira-kira 150 liter sehari.

Apakah faktor pendorong kepada pembaziran yang melampau ini?

Hanya satu sahaja jawapannya, iaitu rakyat Malaysia tidak pernah menganggap air sebagai satu barang berharga.

Lihat sahaja ketika mengambil wuduk, berliter-liter air dibazirkan, sedangkan Islam sendiri mengajar umatnya untuk berjimat cermat.

Pengguna semula air hujan juga masih lagi gagal untuk kita laksanakan. Sepuluh tahun yang lalu, ketika penulis menyiapkan tesis PhD, penulis telah mencadangkan agar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mewajibkan pelaksanaan pembinaan pagar yang boleh menyimpan air hujan yang boleh digunakan untuk menyiram pokok tanaman mahupun boleh digunakan untuk membasuh kereta.

Malangnya usul ini dipandang sepi, mungkin sekarang waktu yang paling sesuai untuk KPKT memikirkan kembali akan cadangan seumpama ini.

Ingin juga penulis suarakan kaedah yang digunakan oleh negara-negara maju dalam mengawal selia pengurusan air.

Penulis boleh menyebut Australia sebagai contoh kerana penulis pernah bertugas dan bermastautin di negeri tersebut.

Australia mengamalkan konsep pengharaman membasuh kereta di premis persendirian serta penggunaan air terawat dalam menyiram tanaman ketika musim kemarau.

Penyiraman ke atas tanaman hanya boleh menggunakan air hujan ataupun air yang telah diguna pakai, manakala membasuh kereta hanya boleh dilakukan di kedai-kedai tertentu sahaja.

Begitulah ketatnya kawalan yang dikenakan oleh Kerajaan Australia - iaitu terdapat kawalan terhadap jumlah air yang digunakan untuk setiap rumah bergantung pada jumlah penghuninya.

Malah setiap rumah digalakkan mempunyai satu tangki menyimpan air hujan untuk kegunaan harian. Kerajaan Australia pernah memberi insentif tertentu kepada isi rumah yang mengamalkan kaedah ini.

Ironinya, perlukah kita membeli air dari negeri lain untuk menyelesaikan isu air ini? Bagi saya ia merupakan cadangan yang kurang bijak.

Isu air Selangor boleh di atasi jika para pengguna tahu akan nilai setitis air itu dan pastinya akan bertambah jimat jika kadar air yang di curi atau bocor begitu sahaja boleh diatasi dengan jayanya.

Ramai orang bercakap tentang betapa tenatnya alam yang kita diami kini, namun berapa ramai di antara kita yang betul-betul walk their talk, atau hanya sekadar retorik.

Sejauh mana pula peranan yang dimainkan oleh badan-badan tertentu sebagai kuasa pendesak terhadap kerajaan. Dan sejauh mana pula kerajaan begitu prihatin dalam menangani isu ini.

Namun berapa ramai di antara kita yang menghargai hakikat bahawa air bukan sekadar komoditi tetapi sumber kehidupan yang amat penting, justeru ia tidak boleh dibazirkan begitu sahaja.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri merupakan bekas Honorary Fellow di Asian Institute University of Melbourne dan Adjunct di School of Philosophy, History and International Studies Monash University. Beliau merupakan penyelaras/pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia. Beliau boleh dihubungi menerusi email [email protected]

Artikel Lain