suria

Lelaki Ditemui Mati Separuh Bogel Di Pantai

MIRI: Seorang lelaki yang berusia 30an dengan identitinya belum dikenal pasti dijumpai mati dalam keadaan separuh bogel, yang hanya berpakaian kemeja-T di Pusat Latihan Maritim Sarawak (SMTC) Batu 1, Pantai Kuala Baram.

Mangsa itu dipercayai rakyat Malaysia berdasarkan tanda inokulasi BCG, yang dijumpai oleh orang awam dalam keadaan tertiarap ke bawah dengan kedua-dua tangannya diikat ke belakang menggunakan sehelai seluar dalam.

Ketua Polis Miri, ACP Mun Kock Keong dalam sidang media pada Selasa berkata, mereka menerima satu panggilan daripada orang awam yang tidak dikenali kira-kira pukul 8.30 pagi bagi memaklumkan bahawa seorang lelaki dijumpai mati di pantai.

“Apabila kami ke tempat kejadian dan menjumpai mangsa terbaring dalam keadaan mukanya telungkup ke bawah dan tanganya diikat di bahagian belakang,” kata Mun sambil menambah berdasarkan siasatan awal mengesan luka di bahagian tepi muka maangsa dipercayai disebabkan oleh objek tajam.

“Terdapat banyak darah di atas pasir di sekitar tubuh mangsa tetapi kita perlu mengenal pasti apakah darah tersebut,” katanya sambil menambah perlu mengenal pasti identiti mangsa kerana tiada dokumen pengenalan diri dijumpai pada badan mangsa.

Mun menggambarkan mayat itu sebagai lelaki dengan ketinggian sederhana kira-kira lima kaki dua inci, mempunyai tanda tatu naga di bahagian belakang, tatu bunga-bungaan di lengan kirinya dan terdapat tatu logo perkataan Cina “Yin dan Yang” di lengan kanannya.

Ketika ditanya sama ada seluar dalam itu digunakan untuk mengikat tangan adalah kepunyaan mangsa, Mun berkata, “Tidak pasti.”

“Kami telah periksa dalam sistem kami dan tiada laporan orang hilang di Miri setakat ini,” kata beliau sambil menambah akan mengesan kes orang hilang di seluruh Sarawak.

Mun berkata, pasukan forensik sedang melakukan tugas di lokasi jenayah dan mayat mangsa telah dipindahkan di bilik mayat Hospital Besar Miri untuk bedah siasat.

“Kami akan hanya tahu punca kematian sebenar selepas bedah siasat dijalankan,” kata Mun.

Ketika ditanya sama ada kes bunuh itu mempunyai sebarang kaitan dengan pembunuh kapten kapal di Kuala Baram hujung minggu lalu, Mun berkata “Kami tidak pasti.”

Mun meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan kes tersebut supaya menghubungi polis, beliau sendiri atau pegawai penyiasat, ASO Zainal di talian 0111-2099878.

Artikel Lain