suria

Hanya 16 Peratus Petugas Sektor Pelancongan Miliki Diploma, Ijazah - Khaled Nordin

PUTRAJAYA: Hanya kira-kira 16 peratus petugas industri pelancongan dan hospitaliti memiliki kelayakan diploma atau ijazah, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sehubungan itu, beliau berharap Pusat Pengajian Pelancongan dan Hospitaliti (MyCenTHE), yang ditubuhkan pada tahun lepas, dapat berperanan melahirkan lebih ramai sumber manusia berkemahiran dalam bidang tersebut.

"MyCenTHE ditubuhkan untuk meningkatkan jumlah orang yang memiliki kelayakan lebih tinggi dalam industri, sasaran jangka panjang adalah melahirkan sekurang-kurangnya 50,000 petugas berkemahiran setiap tahun menjelang 2020," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pendidikan Pelancongan dan Hospitaliti, Selasa.

Persidangan itu didakan sempena sambutan ulang tahun pertama MyCenTHE.

Mohamed Khaled berkata kementeriannya memberi sokongan kepada MyCenTHE melalui penawaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM16,000 untuk tempoh dua tahun pengajian peringkat diploma.

"Pelajar tidak perlu mendapatkan pinjaman penuh kerana mereka mengikuti pengajian yang berasaskan pekerjaan, dan ini bermakna mereka akan mendapat elaun," katanya.

Beliau berkata negara memerlukan lebih ramai tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam sektor perlancongan dan hospitaliti selari sumbangan industri itu dalam ekonomi negara.

"Kita berharap lebih ramai bakat muda dari Malaysia akan memilih kerjaya dalam sektor pelancongan dan hospitaliti, yang merupakan penyumbang kelima terbesar dalam ekonomi Malaysia," katanya.

MyCenTHE merupakan institusi yang bermatlamat meningkatkan kualiti pendidikan pelancongan dan hospitaliti melalui sokongan pasukan khas yang terdiri daripada pakar pendidikan, peneraju industri serta wakil agensi kerajaan. - BERNAMA

Artikel Lain