suria

Telco Bertanggungjawab Siasat 'Drop Calls'

KUALA LUMPUR: Sebarang siasatan berhubung khidmat panggilan yang tiba-tiba terputus atau 'dropped calls' adalah tanggungjawab syarikat telekomunikasi (telco) sendiri, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Bagaimanapun, pengguna boleh membuat aduan mengenainya kepada syarikat telekomunikasi berkaitan atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Langkah itu boleh membantu meningkatkan mutu perkhidmatan syarikat telekomunikasi, katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Celcom Axiata Berhad di sini, Isnin.

Ada rungutan pengguna berhubung khidmat panggilan telefon yang sering terputus secara tiba-tiba di beberapa tempat dan mereka meminta syarikat telekomunikasi mengatasinya segera.

Mengenai mutu perkhidmatan telco, Rais berkata KPI (Petunjuk Prestasi Utama) syarikat-syarikat ini akan ditentukan oleh panel bebas.

Dropped call ialah terma biasa yang digunakan bagi khidmat panggilan telefon bimbit yang tiba-tiba terputus disebabkan masalah teknikal termasuk di kawasan luar liputan.

Dalam pada itu, Rais mengajak semua pihak tanpa mengira fahaman politik untuk bersama memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 pada 31 Ogos di Dataran Merdeka pada sebelah pagi dan berhimpun di Stadium Nasional Bukit Jalil pada sebelah malam bagi menyatakan penyatuan rakyat.

"Walau apapun perbezaan politik atau pendapat, Hari Kemerdekaan itu harus kita ambil sebagai pancang kenegaraan kita.

"Mari kita sama-sama tunjukkan kepada dunia bahawa tanpa mengira perbezaan politik, kita bersatu pada hari Merdeka," katanya.

Menurut beliau, persiapan akhir giat dijalankan di Dataran Merdeka untuk sambutan itu.

Rais meminta rakyat Malaysia untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang sehingga Hari Malaysia pada 16 September ini.

Beliau turut menarik perhatian bahawa syarikat telekomunikasi banyak memainkan peranan membantu memeriahkan suasana sempena sambutan kemerdekaan di seluruh negara. BERNAMA

Artikel Lain