suria

Suami Isteri Dan Dua Rakan Didakwa Edar Dadah Ketamin

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri, masing-masing warga Singapura dan China didakwa di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan mengedar dadah jenis ketamin seberat 88.4gram, dua minggu lalu.

Dua rakan mereka warganegara Singapura dan Vietnam turut didakwa terhadap pertuduhan yang sama mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tan Meng Kiat, 39, warga Singapura dan isterinya warga China, Meng Bei Bei, 25, manakala rakan mereka Kwok Pin Hwee, 31, warga Singapura dan Le Thi Thuy Nga, 28, warga Vietnam dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah beralamat Blok 10-9-3A, Jalan 1C/149, Petaling Indah Condominium, pada 4.30 petang, 13 Ogos lalu.

Kwok, turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 611.5gram di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada mereka ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Sementara itu, Le Thi turut didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah pedang samurai berserta sarung berukuran 78cm, sebilah parang berukuran 47cm, sebilah "flick knife" berukuran 25cm dan sebilah pisau berukuran 10cm.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan Dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM2,000, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menetapkan kesemua kes tersebut disebut semula pada 1 November ini.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya S. Malini Anne manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, pasangan suami isteri itu turut didakwa di Mahkamah Sesyen terhadap empat pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan pelbagai jenis butir peluru serta sebutir bom tanpa lesen yang sah.

Bagi pertuduhan pertama Tan dan Meng mengaku tidak bersalah memiliki sepucuk pistol auto jenis "colt" magnum.22 buatan Amerika Syarikat berserta satu kelopak dan 7 butir peluru jenis "T".

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga mereka didakwa memiliki sebutir bom, serta 59 butir peluru pelbagai jenis.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 8 Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971, dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan rotan sekurang-kurangnya 6 sebatan.

Pasangan tersebut juga menghadapi pertuduhan keempat iaitu memiliki pelbagai jenis senjata api iaitu sebilah pisau jenis kerambit, "knuckleduster", bearing-scrapper, sebilah pedang samurai mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta bahan Kakisan dan Letupan dan Senjatapi Berbahaya 1958 yang dibaca bersama mengikut Seksyen 34 kanun yang sama.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozana Hussin dan Hakim Mohamad Sekeri Mamat menetapkan 10 September untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Lain