suria

Polis Tahan Lelaki Bersabit Penemuan Pistol, Dadah

SHAH ALAM: Gerakan memburu seorang lelaki bersabit penemuan sepucuk pistol dan pelbagai jenis dadah dalam sebuah kereta pada 18 Ogos lepas, berakhir dengan penangkapan suspek di Seksyen 9, di sini pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata suspek berusia 36 tahun itu adalah suami kepada pemilik kereta terbabit yang ditemui terbabas berhampiran Stadium Malawati di Seksyen 13 pada hari kejadian.

Suspek ditahan pukul 6.30 petang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api, katanya pada sidang media, di sini, Selasa.

Mengulas insiden 2.45 pagi, 18 Ogos lepas, Mohd Adnan berkata kereta peronda polis menahan sebuah kereta di Jalan Subang di sini yang didapati berada dalam keadaan mencurigakan, selain dipandu secara berbahaya.

Sebaik ditahan, anggota polis meminta kad pengenalan daripada suspek lelaki yang memandu berseorangan itu, namun dia cuba berlengah serta cuba mengeluarkan satu objek daripada beg sandangnya tetapi dihalang anggota polis terbabit.

"Suspek bertindak memecut kenderaannya dan melarikan diri namun beg sandangnya berjaya dirampas oleh polis yang mendapati di dalamnya terdapat sepucuk pistol semi automatik dengan tujuh butir peluru 9 milimeter," katanya.

Mohd Adnan berkata kira-kira sejam kemudian, polis mendapat maklumat kereta yang dipandu suspek terbabas di sebatang jalan di Seksyen 13 dan pemeriksaan mendapati 107 gram pelbagai jenis dadah yang dibungkus di dalam peket kecil.

Dalam kes berasingan, beliau berkata satu mayat lelaki yang sudah reput dijumpai di Sungai Klang di Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada Jumaat lepas, dipercayai mangsa bunuh berdasarkan kesan kecederaan di bahagian belakang badan mangsa.

Katanya mayat itu dipercayai telah terapung selama seminggu dan ditemui dalam keadaan berseluar dalam berwarna kuning cair, jenama X Camel bersaiz S tanpa dokumen pengenalan diri.

"Kita minta sesiapa yang kehilangan saudara atau anggota keluarga supaya tampil di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk proses pengecaman," katanya. BERNAMA

Artikel Lain