suria

Polis Tahan 10 Lelaki Bantu Siasatan Kes Dua Bouncer Ditembak

KUALA LUMPUR: Seramai 10 lelaki telah ditahan bagi membantu siasatan kes dua 'bouncer' atau pengawal kelab hiburan di Jalan Dooraisamy, di sini yang ditembak mati di hadapan premis berkenaan awal pagi Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata kesemua mereka yang berumur antara 21 dan 37 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan bila kesemua lelaki itu ditahan.

Dalam insiden kira-kira pukul 4.30 pagi Ahad, dua 'bouncer' berumur dalam lingkungan awal 20-an dikatakan menghalang sekumpulan enam lelaki tempatan daripada memasuki kelab hiburan itu kerana premis berkenaan telah tamat waktu operasi.

Kumpulan itu bagaimanapun berterusan mendesak 'bouncer' berkenaan agar membenarkan mereka memasuki kelab tersebut namun tindakan itu telah mencetuskan pergaduhan sehingga berlaku kejadian tumbuk-menumbuk antara mereka.

Seorang daripada kumpulan lelaki itu naik berang apabila melihat dua rakannya dipukul teruk, lalu mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan ke arah kedua-dua 'bouncer' berkenaan yang mengenai bahagian kepala mangsa pertama dan bahagian rusuk kiri mangsa kedua yang menjadi punca kematian.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan meneliti secara terperinci aspek pengawasan dan keselamatan di kelab hiburan bagi memastikan insiden serangan tembakan itu tidak berulang, kata Datuk Bandar Datuk Ahmad Phesal Talib.

Beliau berkata DBKL telah mengarahkan pegawai terlibat agar membuat pemantauan terhadap kelab hiburan bagi memastikan ia mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

"Kita telah mengadakan perbincangan dengan pegawai terlibat dan meminta mereka membuat pemantauan bagi memastikan kelab hiburan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan sebagai contoh beroperasi pada waktu yang telah ditetapkan sahaja.

"Selain itu ketetapan had umur bagi pengawal disko juga perlu diberi perhatian oleh pihak pengurusan pusat hiburan bagi memastikan mereka merupakan golongan terlatih dan berpengalaman bagi berhadapan situasi yang tidak dijangka (serangan tembakan)," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain