suria

Pekerja Am DBKL, Bapa Saudara Didakwa Bunuh Lelaki

PETALING JAYA: Seorang pekerja am Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama bapa saudaranya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas pertuduhan membunuh seorang rakan sekerja, pada pagi Hari Raya Kedua.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Majzani Abd Mansor, 33, dan Azmi Abdul Aziz, 51, seorang pengedar risalah, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Kedua-dua lelaki tersebut didakwa bersama-sama membunuh Mohamad Khairul Anuar Osman, 28, seorang pengedar risalah, dengan menggunakan kayu, di rumah No.57C-2, Tingkat 3 Jalan Puchong Utama 2/1, Taman Perindustrian Puchong Utama, Puchong, di sini pada 4.30 pagi, pada 20 Ogos lepas.

Mereka yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 28 Sept untuk sebutan kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi. BERNAMA

Artikel Lain