suria

Malaysia Cipta Sejarah Ketika Aidilfitri

Rizal menjulang trofi selepas memenangi dua perlumbaan di kejohanan Lamborghini Blancpain Super Trofeo Asia.
Rizal menjulang trofi selepas memenangi dua perlumbaan di kejohanan Lamborghini Blancpain Super Trofeo Asia.
Rizal menjulang trofi selepas memenangi dua perlumbaan di kejohanan Lamborghini Blancpain Super Trofeo Asia.

PETALING JAYA: Terlepas peluang menyambut sambutan Aidilfitri bersama keluarga ternyata berbaloi buat Rizal Ashram Ramli apabila menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi dua perlumbaan di kejohanan Lamborghini Blancpain Super Trofeo Asia.

Pemandu daripada pasukan tempatan pertama Malaysia - Lamborghini Kuala Lumpur JH Italia - itu menewaskan 18 pelumba lain dari seluruh Asia untuk memenangi perlumbaan di Ordos, China, pada 18 dan 19 Ogos lalu.

"Ini bukan kali pertama saya telah terlepas menyambut Hari Raya dengan keluarga saya.

"Walaubagaimanapun ini adalah kali pertama saya tidak berasa begitu teruk apabila berjauhan dari rumah," kata Rizal ketika dihubungi pada Isnin.

Rizal, 36, suami kepada pelakon Fasha Sandha sebelum ini sering berjauhan dengan keluarga ketika musim perayaan sewaktu dia belajar di England dan Amerika Syarikat.

"Saya segera menghubungi keluarga saya dari Ordos selepas menang, mereka lebih gembira daripada saya," katanya.

Kejohanan berkenaan pertama kali bermula di Asia di Litar Antarabangsa Sepang Mei lalu.

Walaupun tidak menamatkan perlumbaan di Sepang, Rizal menduduki tempat kedua di Speedway Fuji di Jepun bulan lalu.

"Saya merasakan kurang tekanan ketika berlumba di Ordos disebabkan cuaca sejuk.

"Di Sepang cuacanya sangat panas sehingga suhu meningkat kepada 64°C di dalam kereta. Nasib baik saya mempunyai pakaian penyejuk," katanya.

Ketika kejohanan itu Rizal memandu Lamborghini Super Trofeo iaitu model khas yang direka bercirikan versi ringan model terkenal jenama Gallardo LP560-4.

Dalam pada itu Rizal berkata isterinya, Fasha merupakan penyokong terbesar kariernya sebagai pelumba.

"Bagaimanapun dia terpaksa berada di Malaysia untuk Hari Raya, tetapi jika perlumbaan ini berlangsung pada hari biasa, dia pasti akan berada bersama saya," katanya.

Pelumba itu kini mencari peluang untuk mengekalkan prestasinya untuk baki tiga pusingan di Guangdong dan Shanghai, China.

Artikel Lain