suria

Keputusan Kes Rogol Pemain Tenpin Boling: Mahkamah Keluarkan Penghakiman Bertulis

KUALA LUMPUR: Pemain tenpin boling kebangsaan, Noor Afizal Azizan tidak akan dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun jika tidak disebabkan faktor usianya yang muda atau menggunakan kekerasan atau paksaan semasa melakukan kesalahan merogol remaja bawah umur.

Mahkamah Rayuan berkata demikian dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan pada Isnin.

Panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Raus Md Sharif, Datuk K.N.Segara dan Datuk Azhar Ma'ah menulis alasan penghakiman.

Beliau berkata, Noor Afizal tidak memaksa gadis tersebut untuk menyerahkan diri kepadanya.

Raus berkata jika Noor Afizal "tidak bekerjasama dengan polis dan tidak menunjukkan sebarang penyesalan terhadap perbuatannya atau tiada jaminan bahawa dia tidak akan melakukan kesalahan sama pada masa akan datang, kita tidak teragak-agak untuk mengenakan hukuman penjara lebih lama seperti kebanyakan kes serupa."

Pada 8 Ogos kes tersebut menimbulkan kekecohan selepas mahkamah membenarkan rayuan Noor Afizal terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk menjatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan merogol seorang gadis berusia 13 tahun.

Dalam keputusan lisan, Raus bersetuju dengan peguam Noor Afizal bahawa kepentingan awam tidak akan dilaksanakan jika pemain boling tenpin itu dihantar ke penjara memandangkan dia mempunyai masa depan yang cerah.

Pada 5 Julai 2010, Mahkamah Sesyen Melaka melepaskan Noor Afizal dengan bon jaminan berkelakuan baik selama lima tahun bernilai RM25,000 dengan seorang penjamin selepas mengaku salah merogol seorang gadis bawah umur di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka.

Bagaimanapun, dia dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi Melaka pada 20 September tahun lepas yang membenarkan rayuan dibuat oleh pihak pendakwaan yang tidak puas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen untuk mengikat jaminnya.

Artikel Lain