suria

Dua Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Dua Bouncer Mati Ditembak

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lagi suspek berhubung kes dua 'bouncer' atau pengawal sebuah kelab hiburan di Jalan Dooraisamy mati ditembak di hadapan premis itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, dua suspek lelaki yang berumur 33 dan 40 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara awal pagi Selasa bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

"Dengan penahanan dua suspek ini menjadikan 12 suspek ditahan bagi membantu siasatan," katanya dalam khidmat SMS kepada Bernama.

Beliau berkata, polis menahan reman 10 suspek bermula Isnin hingga 2 September manakala tangkapan membabitkan dua suspek pada Selasa direman sehingga 1 September.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi semalam, dua 'bouncer' berumur dalam lingkungan awal 20-an dikatakan menghalang sekumpulan enam lelaki tempatan daripada memasuki kelab hiburan itu kerana premis berkenaan telah tamat waktu operasi.

Pergaduhan kemudian tercetus sebelum seorang daripada lelaki itu mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan ke arah kedua-dua 'bouncer' berkenaan yang mengenai bahagian kepala mangsa pertama dan bahagian rusuk kiri mangsa kedua. - BERNAMA

Artikel Lain