suria

Tiga Lelaki Warga Asing Ditahan Kerana Samun RM50

GEORGE TOWN: Dua lelaki Iran dan seorang lelaki warga Turki ditahan selepas menyamun RM50 di sebuah kedai menjual binatang peliharaan di Jalan Pekan, Sungai Bakap, Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata, dalam kejadian pukul 5.30 petang, suspek yang berumur 13 hingga 33 tahun itu membeli makanan haiwan di kedai terbabit.

"Semasa hendak membayar barangan yang dibeli, seorang daripada mereka mengeluarkan wang Dolar Amerika namun pemilik kedai meminta mereka membuat pembayaran dengan wang tempatan.

"Suspek yang berpura-pura tidak tahu bentuk sebenar Ringgit Malaysia kemudiannya meminta pemilik kedai menunjukkan contoh wang sebelum melarikan wang kertas bernilai RM50 itu dengan menaiki Proton Perdana," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Bagaimanapun, tindakan pantas sepasukan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) berjaya mengepung dan menahan penyamun terbabit kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian dan menyerahkan suspek-suspek itu kepada polis.

Mazlan berkata, susulan penahanan itu, polis menemui mata wang Amerika, Singapura, Arab, Thailand dan Indonesia dan tempatan bernilai lebih RM4,000 dan merampas dua unit i-phone jenama Apple.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek-suspek itu masuk secara sah ke negara ini menggunakan pasport pelancong dan polis masih menyiasat sama ada ini kali pertama mereka melakukan kegiatan terbabit," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang pernah mengalami kes seumpama ini membuat laporan di balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Mazlan berkata, ketiga-tiga suspek ditahan reman sehingga 7 September depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 308 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain