suria

Syarikat Kerugian Lebih RM40,000, 500 Karton Rokok Dilarikan Penyamun

BESUT: Sebuah syarikat rokok kerugian RM43,900 apabila penyamun melarikan 500 karton rokok dan wang tunai RM4,000 hasil jualan rokok dalam kejadian samun yang berlaku di Kampung Paya Rawa, dekat Kampung Raja di sini Ahad.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Zakaria berkata kejadian itu berlaku ketika seorang pemandu syarikat rokok yang berumur 58 tahun keluar untuk mengambil rokok yang dipesan oleh peniaga dari sebuah kedai runcit di Kampung Paya Rawa pada 2.10 petang.

Katanya sebaik sahaja keluar dari kedai berkenaan, datang dua suspek yang bersenjatakan parang dan menolaknya masuk ke dalam van lalu mengikat kedua-dua belah tangan dengan menggunakan tali manakala seorang lagi suspek memandu van berkenaan ke satu kawasan sunyi di belakang Maktab Rendah Sains Mara Besut tidak jauh dari tempat kejadian.

"Pada masa yang sama terdapat dua buah kereta dipercayai milik rakan suspek utama dari jenis Proton Perdana berwarna maroon dan Proton Waja berwarna perang mengekori van berkenaan sehingga ke tempat van itu dilarikan," kata Kamaruddin kepada pemberita di sini, Isnin.

Menurutnya, suspek kemudian melarikan rokok di dalam van berkenaan dan wang tunai sebelum pemandu van diselamatkan oleh penduduk kampung serta anggota polis yang tiba setelah menerima laporan daripada orang awam.

Kamaruddin berkata mangsa hanya mengalami cedera ringan dan luka sedikit di bahagian kening.

Beliau tidak menolak kemungkinan sindiket yang sama melakukan samun itu yang sebelum ini turut menyamun van rokok di kawasan lain di daerah ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah ASP Kamsani Hassan melalui di talian 013 3612080.

Kamaruddin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.- BERNAMA

Artikel Lain