suria

Polis Tahan Dua Lelaki, Rampas 3,000 Keping Iklan Pinjaman Ah Long

MELAKA: Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam aktiviti pinjaman wang haram 'Ah Long' dan merampas 3,000 keping iklan pinjaman bernilai RM30,000 dalam serbuan di Taman Bachang Baru di sini, Jumaat lepas.

Kedua-dua lelaki berusia 24 dan 35 itu ditahan di sebuah rumah teres dua tingkat yang dilengkapi pintu automatik dan pengawal keselamatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Melaka Supt Soh Hock Sing berkata dalam serbuan 5.30 petang itu, polis turut merampas beberapa buku catatan pinjaman, sembilan telefon bimbit, dua komputer riba dan empat keping cek bernilai RM30,000 dipercayai cagaran peminjam.

"Kita percaya mereka ini telah menjalankan operasi sejak penghujung 2011 dengan menggunakan rumah yang disewa itu sebagai stor simpanan iklan yang akan ditampal pada tengah malam," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Isnin.

Soh berkata kumpulan berkenaan memberi pinjaman antara RM1,000 hingga RM10,000 dan mengenakan faedah antara 10 hingga 15 peratus.

Katanya, kes terbaru melibatkan jumlah pinjaman RM1,500 oleh seorang penjual baja 5 Mei lepas.

Sejak Januari lalu hingga kini sebanyak 47 serbuan dijalankan di seluruh Melaka dengan penahanan 11 lelaki terlibat dengan sindiket pinjaman 'Ah Long', katanya. - BERNAMA

Artikel Lain