suria

Pasukan Gerakan Udara PDRM Minta Kerajaan Naikkan Gaji Juruterbang

KUALA LUMPUR: Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PGU PDRM) meminta kerajaan mempertimbang kenaikan gaji serta pemberian insentif kepada juruterbang pasukan itu supaya mereka tidak berhijrah ke sektor komersial yang menawarkan gaji lebih lumayan.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid berkata perkara tersebut disuarakan memandangkan buat masa ini juruterbang PGU PDRM semakin berkurangan.

"Setakat ini seramai 30 juruterbang telah meletakkan jawatan dan jumlah terkini juruterbang ialah seramai 105 pegawai," katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat di PGU Pengkalan Semenanjung, Sungai Besi di sini, Isnin.

Salleh berkata walaupun jumlah tersebut adalah mencukupi namun dalam faktor penugasan ia 'tidak selesa' dan membimbangkan.

"Juruterbang dalam PGU PDRM semuanya terlatih, berpengalaman, komited dan boleh ditugaskan bila-bila masa, oleh itu sepatutnya gaji mereka lebih tinggi berbanding anggota lain," katanya.

Beliau berkata walaupun seseorang juruterbang itu ditawarkan elaun penerbangan namun jumlahnya tidak setinggi sektor komersial.

"Kebiasaannya juruterbang kita (PGU PDRM) jika ke sektor komersial boleh mendapat gaji yang lebih tinggi," katanya.

Selain juruterbang, beliau juga meminta gaji serta elaun jurutera PGU PDRM turut dinaikkan.

Terdahulu, 11 pegawai kanan yang terdiri daripada juruterbang dan jurutera PGU PDRM dari seluruh negara mendapat kenaikan pangkat.

Mengenai kenaikan pangkat tersebut, Salleh berkata ia adalah satu pengiktirafan oleh kerajaan supaya mereka melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang. - BERNAMA

Artikel Lain