suria

PAS Kedah Wajar Ketengah Tokoh Baru Ganti MB Pada PRU

SUNGAI PETANI: Pas Kedah wajar mengetengahkan tokoh baru bagi menggantikan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada pilihan raya umum akan datang berikutan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Ketika membuat saranan itu, bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Zamil Ibrahim berkata Azizan harus akur dengan keadaan kesihatan beliau untuk mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Limau.

"Masalah kesihatan Azizan menyebabkan beliau tidak dapat menghadiri majlis Hari Rayanya di Seri Mentaloon (kediaman rasmi Menteri Besar) dua hari lepas.

"Pada saya sudah sampai masanya Menteri Besar itu mencari muka bar (menggantikannya) untuk menjadi calon Pas Kedah pada PRU-13," kata Zamil kepada Bernama di sini, Isnin.

Sebelum ini, Azizan beberapa kali mendapatkan rawatan katarak mata di samping masalah kesihatan lain dan pernah mengambil cuti namun tidak melantik pemangku.

"Saya yakin rakyat seperti juga saya mahu melihat tokoh baru bertanding pada PRU kali ini kerana mereka pasti mampu menjayakan misi baru yang diinginkan majoriti pengundi muda.

"Azizan diakui pemimpin yang baik tetapi kesihatan beliau mengganggu tugasnya selaku ketua eksekutif negeri untuk memimpin Kedah. Saya doakan kesihatan beliau pulih," kata Zamil. - BERNAMA

Artikel Lain