suria

Lelaki Maut Ditembak Perompak Di Kafe Siber

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mati selepas ditembak seorang daripada dua suspek yang menyamun RM2,000 dari sebuah kafe siber di Taman Jinjang Baru di sini, awal pagi Isnin.

Dalam kejadian 6.40 pagi itu, mangsa yang berumur 34 tahun itu terkena dua daripada tiga das tembakan ketika cuba mengejar kedua-dua suspek yang melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata mangsa yang cedera parah di perut dan paha, meninggal dunia di Hospital Selayang.

"Siasatan awal menunjukkan suspek menggunakan sepucuk pistol dan sebilah parang," katanya.

Menurut Ku, mangsa pergi ke premis itu untuk menjemput isterinya yang bekerja sebagai juruwang.

Polis kini giat memburu kedua-dua suspek berumur lingkungan 40-an. - BERNAMA

Artikel Lain