suria

Kejayaan Pimpinan BN Diiktiraf Negara Islam - PM

PEKAN: Kejayaan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) memerintah negara ini selama 55 tahun terbukti membawa banyak perubahan dan pembangunan kepada rakyat sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kejayaan Malaysia membawa perubahan dan kejayaan kepada rakyat ini turut diakui negara-negara Islam yang lain, sehingga mereka mahukan Malaysia dijadikan contoh ikutan kepada negara Islam lain.

"Imej Malaysia di kalangan negara-negara Islam begitu dikenali, kita diberi penghormatan oleh negara-negara Islam dan ini menunjukkan bahawa apa yang kita perjuangkan dalam negara kita di bawah kerajaan yang ada pada hari ini mendapat pengiktirafan dan sanjungan yang tinggi di kalangan negara-negara Islam.

"Malah Presiden Mesir yang baharu, Morsi (Mohammed Morsi) begitu minat sekali nak melawat Malaysia dan beliau telah menyatakan kalau ada satu-satu negara yang boleh dijadikan contoh dan model, tidak lain dan tidak bukan ialah negara Malaysia kita ini," katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 100,000 tetamu pada Majlis Rumah Terbuka beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini, Ahad.

Najib berkata kenyataan itu diluahkan Morsi ketika beliau menghadiri Persidangan Negara-negara Islam (OIC) di Mekah baru-baru ini.

Sehubungan itu, Najib menyeru agar semua rakyat negara ini bangkit dan menguatkan semangat serta terus berjuang bagi membawa kejayaan yang lebih bermakna.

"Kita (juga) bukan nak slogan, bukan nak janji, tapi nak sesuatu yang boleh dirasai oleh rakyat seperti BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) yang kita beri secara langsung...tak termasuk bantuan-bantuan lain seperti subsidi minyak, beras, minyak masak, tepung dan bantuan yang telah kita laksanakan," katanya.

Dalam pada itu, sempena Syawal ini, beliau menyeru umat Islam, sebagai khalifah di muka bumi ini, supaya terus mengukuhkan ikatan silaturahim, dan sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain.

"Jika puasa kita merupakan ikatan kita kepada Allah maka dalam Syawal ini kita digalakkan menguatkan ikatan silaturahim, rasa ukhuwah serta maaf-bermaafan sesama manusia, maka baru dapat kita jalankan peranan kita sebagai khalifah," katanya.

Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob. BERNAMA

Artikel Lain