suria

Dua Maut Dalam Kemalangan Libatkan Lima Kenderaan

MELAKA: Seorang guru dan seorang jurutera maut dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer 197.3 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Alor Gajah di sini, Isnin.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Farid Mazlan, 27, guru di Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor dan Mohamad Fakhrulrazi Baharuddin, 28.

Ketua Trafik Melaka Supt Ahmad Adnan Basri berkata dalam kejadian kira-kira 4 pagi, sebuah lori tiga tan yang datang dari arah Kuala Lumpur ke Melaka merempuh sebuah treler lalu melintang di tengah jalan raya.

Beliau berkata sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu Muhammad Farid dari arah Nilai ke Johor Baharu kemudian merempuh bahagian belakang lori tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

"Sementara itu Mohamad Fakhrulrazi yang menunggang motosikal dari arah Kuala Lumpur ke Johor Baharu turut melanggar lori tersebut menyebabkannya maut di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata sebuah lagi kereta jenis Proton Iswara yang dipandu seorang lelaki dan tiga penumpang juga merempuh lori tersebut namun pemandu serta penumpang kenderaan itu hanya mengalami kecederaan ringan.

Ahmad Adnan berkata pemandu lori yang patah kaki kanan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Artikel Lain