suria

200,000 Dijangka Meriahkan Perhimpunan Janji Ditepati

KUALA LUMPUR: Hampir 200,000 orang dijangka membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memeriahkan Perhimpunan Janji Ditepati sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55, Jumaat ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata, khalayak adalah daripada agensi dan jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan swasta, badan bukan kerajaan, badan beruniform, parti komponen Barisan Nasional, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, komuniti 1Malaysia serta belia pelbagai kaum.

"Kesemua pihak yang terlibat menunjukkan minat yang amat menggalakkan dalam penyertaan 'Perhimpunan Janji Ditepati' berdasarkan kepada penambahan jangkaan kehadiran pada hari itu," katanya kepada pemberita selepas taklimat akhir jawatankuasa khalayak persembahan khas sempena perhimpunan itu, Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sudah memohon untuk mendapatkan perkhidmatan sistem aliran ringan (LRT) secara percuma bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bukit Jalil.

"Kita sedang usahakan sesuatu yang melibatkan pihak awam untuk menggalakkan orang ramai turun beramai-ramai bukan sahaja untuk mengisi ruang di dalam malah di luar stadium yang dihias bertemakan Merdeka Raya.

"Dan yang paling penting adalah untuk mendengar perutusan sambutan kemerdekaan ke-55 daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam itu nanti," katanya.

Persembahan untuk khalayak adalah berunsur patriotik dan bercirikan perpaduan yang dibahagi kepada tiga segmen melibatkan 16,000 peserta.

Antara acara pada malam itu ialah persembahan artis remaja tanah air, seni mempertahankan diri, penganugerahan sijil Pencapaian Cemerlang kepada 10 ikon generasi muda, flashmob, cabutan bertuah dan pertunjukan bunga api.

Selain menyampaikan amanat, Perdana Menteri dijangka menyertai Tweet Up Merdeka dan meluangkan masa beramah mesra dengan Gen Y di luar Stadium Nasional.

Sementara itu, mengulas perhimpunan 'Janji Bersih' pada malam sambutan Hari Kemerdekaan, Kamaruddin berkata, perkara itu tidak mungkin berlaku kerana kawasan Dataran Merdeka dipenuhi peralatan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos.

"Kita sudah gunakan Dataran Merdeka sejak hari ini, dan semua tempat kita sudah isi dengan peralatan seperti sistem PA.

"Peralatan semua dah disiap pasang. Saya ingat polis tidak akan benarkan perhimpunan itu berlaku di dalam kawasan Dataran Merdeka," katanya.

Beberapa NGO, termasuk Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih), merancang Perhimpunan 'Janji Bersih' di Dataran Merdeka pada malam Hari Kemerdekaan bagi mengulangi tuntutan penambahbaikan proses pilihan raya.

Berdasarkan laporan sebuah portal berita 9 Ogos lepas, wakil kumpulan NGO terbabit iaitu Pengerusi bersama Bersih Datuk A. Samad Said berkata perhimpunan yang dikenali sebagai 'Janji Bersih' akan bermula pada 10 malam. - BERNAMA

Artikel Lain