suria

Pengurusan Kuin Didakwa Akan Diambil Alih Swasta

KUALA NERANG: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid mendakwa pengurusan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) akan diambil alih oleh sebuah syarikat swasta.

Beliau mendakwa kerajaan negeri Kedah telah menerima surat dari sebuah syarikat antarabangsa berkenaan dengan pengambil alihan pengurusan Kuin sejak dua bulan lepas.

"Ada surat menyurat dari syarikat swasta kepada kerajaan negeri Kedah berhubung dengan proses pengambilalihan Kuin dari kerajaan negeri kepada syarikat swasta.

"Kita minta kerajaan negeri memberi penjelasan mengenai surat tersebut," katanya kepada pemberita pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri dekat sini hari ini.

Beliau berkata, pengambilalihan itu akan memberi kesan kepada pelajar kerana pihak swasta sudah pasti mahu mengaut keuntungan yang tinggi berbanding dengan kerajaan negeri.

"Jika syarikat swasta mengambil alih pengurusan Kuin, mereka tentu memikirkan keuntungan. Matlamat sebenar penubuhan Kuin adalah untuk memberi kemudahan pelajaran kepada anak bangsa khususnya di Kedah.

"Adakah mereka (kerajaan negeri Kedah) nak jadikan Kuin ini sebagai sebuah badan perniagaan? Mereka nak jual Kuin kepada syarikat swasta dan ambil duit tu," katanya. BERNAMA

Artikel Lain