suria

Koh Kritik Guan Eng Amal Dwistandard Dalam Undang-Undang Antilompat

KUALA LUMPUR: Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pada Sabtu mengkritik Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kerana mangamalkan 'dwistandard' berhubung cadangan untuk menggubal undang-undang negeri antilompat.

"Di mana konsistensinya. Saya tidak nampak Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng protes apabila dua anggota Parlimen dari Barisan Nasional (BN) Sabah melompat ke dalam pakatan pembangkang. Jadi kenapa amalkan dwistandard sekarang. Adakah beliau melakukannya untuk menunjuk-nunjuk," katanya.

Bulan lepas, dua anggota Parlimen dari BN Sabah iaitu anggota Parlimen Beaufort yang juga pengerusi BN Beaufort Datuk Seri Lajim Ukin dan Anggota Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Bumburing yang juga Naib Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), masing-masing keluar parti dan membentuk kumpulan politik baru yang menyokong pakatan pembangkang.

Bercakap kepada pemberita di Menara PGRM di sini, Koh berkata undang-undang antilompat bercanggah dengan prinsip kebebasan berpersatuan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Katanya anggota Parlimen mesti diberi kebebasan untuk berpolitik dengan mana-mana parti.

Baru-baru ini Lim mengumumkan kerajaan negeri merancang membentangkan undang-undang menghalang perbuatan melompat parti untuk mengelakkan 'katak dan berudu' daripada membiak di Pulau Pinang.

"Jika Lim benar-benar serius untuk menggubal undang-undang ini, jadi beliau harus terlebih dahulu mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengapa beliau (Anwar) senyap apabila anggota Parlimen BN melompat ke pakatan pembangkang," kata Koh.

Sementara itu, berhubung senarai calon Gerakan untuk pilihan raya umum, presiden parti itu menasihatkan calon-calon berpotensi tidak melakukan 'sesuatu yang bodoh' dan menimbulkan kemarahan rakyat, jika tidak mereka akan digugurkan daripada senarai.

Ditanya sama ada Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe akan bertanding di Taiping, beliau berkata:

"Itu akan diputuskan kemudian. Kami masih belum membuat keputusan siapakah calonnya, tetapi kita bekerjasama dengan pelbagai kawasan pilihan raya untuk mencapai kemenangan," katanya.

Ditanya adakah beliau akan menukar fikiran dan menjadi calon, Koh berkata beliau tetap dengan pendirian asalnya untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum tetapi akan membantu BN mencapai kejayaan.

Berhubung pertikaian kerusi Parlimen Taiping antara Gerakan dan Parti Progresif Penduduk (PPP), beliau berkata Presiden PPP Datuk M. Kayveas telah menulis surat kepadanya, memaklumkan PPP tidak akan bertanding di Taiping.

Taiping, yang merupakan kubu kuat tradisional Gerakan sejak 1974, 'dipinjamkan' kepada PPP pada pilihan raya umum 2004 dan 2008.

Kayveas memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2004 dengan majoriti 2,172 undi tetapi kalah kepada DAP, Nga Kor Ming pada pilihan raya umum 2008, dengan perbezaan undi 11,298.

"Kami akan memulangkan kerusi Parlimen Gerik kepada Umno dan Gerakan akan mengambil semula Taiping," katanya.

Sebagai ganti kehilangan kerusi Taiping, BN telah menyerahkan Gerakan untuk bertanding di kerusi Parlimen Bukit Gantang pada 2004 dan kerusi Parlimen Gerik pada 2008.

Kedua-dua kerusi 'gantian' itu asalnya diperuntukkan kepada Umno. - BERNAMA

Artikel Lain