suria

Status Pelabuhan Bebas Rangsang Industri Pelancongan P.Pinang - PHA

GEORGE TOWN: Usaha memulihkan status pelabuhan bebas Pulau Pinang boleh merangsang industri pelancongan dan sektor berkaitan, kata Persatuan Perhotelan Pulau Pinang (PHA).

Pengerusinya Datuk Lim Mee Lee berkata persatuan itu menyokong idea itu kerana ia akan memanfaatkan rakyat negeri ini serta membolehkan industri itu lebih berdaya maju.

"Industri pelancongan di Pulau Pinang kini kurang menarik di tengah-tengah persaingan dengan negara-negara lain seperti Singapura dan Hong Kong," katanya kepada pemberita pada satu seminar mengenai kesan status pelabuhan bebas ke atas sektor pelancongan anjuran Barisan Nasional Pulau Pinang di sini, Sabtu.

Lim berkata dengan status pelabuhan bebas, Pulau Pinang akan dapat menarik lebih ramai pelancong yang akan memberi manfaat bukan sahaja kepada industri pelancongan tetapi juga sektor berkaitan seperti pihak penjaja, hotel-hotel dan pusat beli belah.

Tambahan pula, ia membolehkan Pulau Pinang menjadi lebih berdaya saing dalam produk dan khidmat yang ditawarkan selain menggalakkan penggiat industri meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.

Pulau Pinang sejak zaman kolonial, adalah sebuah pelabuhan bebas sehingga status itu dibatalkan pada 1969.

Sementara itu, Dr Lean Hooi Hooi, seorang profesor madya di Pusat Pengajian Sains Sosial (Program Ekonomi), Universiti Sains Malaysia, berkata selain menarik lebih ramai pelancong, dengan status pelabuhan bebas membolehkan ia menarik pelaburan asing dalam segmen pelancongan.

Dr Lean, yang juga seorang daripada penceramah, berkata status pelabuhan bebas itu akan menarik kedatangan pelancong dan oleh itu pelabur berpotensi akan datang dan melabur dalam bidang perhotelan dan kedai-kedai bagi memenuhi peningkatan permintaan.

Bagaimanapun, katanya, Pulau Pinang tidak bersedia dengan status itu berikutan kekurangan kemudahan infrastruktur dan modal insan sambil menambah kata bahawa dengan perdagangan yang besar, infrastruktur dan teknologi yang baik amat diperlukan untuk menjadi sebuah pelabuhan bebas.

"Kita mengalami kekurangan kemudahan dan modal insan. Kemudahan di pelabuhan pada masa ini tidak dapat menampung jumlah yang besar jika kita mendapat semula status pelabuhan bebas. Tambahan pula, tenaga manusia yang ada tidak cukup terlatih," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain