suria

Polis Tumpaskan 'Geng Bumper' Yang Aktif Menyamun Kenderaan Sekitar Ibu Negara

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan 'Geng Bumper' yang aktif melakukan jenayah samun kenderaan sekitar ibu negara berikutan tertangkapnya empat lelaki di Jalan Gajus, di sini, 8 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata dalam kejadian 9.30 malam itu polis menahan empat lelaki berusia 21 hingga 31 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Camry dipercayai disamun di Taman Connaught pada hari yang sama.

"Hasil siasatan kita ke atas keempat-empat suspek ini membawa kita kepada penahanan seorang lagi suspek lelaki berumur 31 tahun di sebuah rumah di Klang pada hari yang sama.

Turut dirampas bersama suspek ialah sebuah kereta jenis Toyota Harrier yang disamun di Mont Kiara," katanya.

Beliau berkata dengan tertangkapnya kelima-lima suspek itu polis percaya dapat menumpaskan Geng Bumper yang aktif terlibat dalam jenayah samun kenderaan sejak beberapa bulan lalu serta menyelesaikan lima kes curi kenderaan di daerah Cheras.

Dalam kes berasingan, dua lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan curi kereta sekitar Cheras tumpas dalam 'Ops Rejang' yang dijalankan polis di Salak Selatan Baru, dekat sini, Sabtu lepas.

Dalam kejadian pukul 2.15 pagi itu polis menahan dua lelaki berumur 31 dan 49 tahun bersama sebuah kereta jenis Perodua Kelisa yang dicuri pada 14 Ogos lalu.

"Siasatan kita terus membawa kepada rumah suspek di Salak Selatan Baru dan menemui 136 karton rokok pelbagai jenama bernilai kira-kira RM5,000 yang dipercayai diseludup dari negara jiran untuk dijual di pasaran tempatan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini, Jumaat.

Dua suspek itu ditahan reman sehingga Isnin ini.

Dalam pada itu, polis daerah Cheras kini memburu dua suspek utama yang dipercayai terlibat dalam kejadian seorang lelaki ditetak menggunakan pedang samurai di Flat Sri Melaka, Cheras, dekat sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki berumur 40 tahun dipercayai datang ke rumah bekas kekasihnya untuk berhari raya dan ditetak di tangan kanan dipercayai oleh kekasih baru wanita itu akibat perselisihan faham.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek yang bernama Mohd Ifendi Mohd Nafiah, 30, yang beralamat 58-16-09, Flat Sri Sabah, Jalan Cheras, Kuala Lumpur dan Hazirah Abdul Aziz, 22, yang beralamat 36-00-16, Flat Sri Melaka, Batu 3 setengah, Jalan Cheras, Kuala Lumpur agar tampil memberikan maklumat di balai polis berhampiran. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain