suria

Dua Perompak Larikan Sembilan Dulang Barang Kemas Di Seremban

SEREMBAN: Dua perompak bersenjatakan pistol hanya mengambil masa lima minit untuk melarikan sembilan dulang barang kemas dari sebuah kedai di Jalan Dato Bandar Tunggal, di sini, Jumaat.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Supt Lim Kim Fook berkata kejadian berlaku pukul 5.10 petang di kedai yang turut menjual jam tangan itu.

Dua penjenayah terbabit yang memakai topi keledar bertutup penuh, menyerbu masuk ke bahagian menjual barangan kemas dan mengarahkan pekerja memasukkan barangan terbabit ke dalam beg yang dibawa mereka, sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal.

Ketika kejadian terdapat lapan pekerja termasuk seorang pengawal keselamatan tidak bersenjata dalam premis itu, namun tiada tembakan dilepaskan, katanya kepada pemberita, di sini.

"Kita percaya mereka menggunakan dua pucuk pistol automatik, bagaimanapun kita tidak pasti sama ada ia pistol sebenar atau palsu," katanya.

Katanya jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain