suria

Penghantar Surat Disamun RM50,000 Oleh Lima Lelaki

KUALA LUMPUR: Seorang penghantar surat warga asing mengalami detik cemas apabila diacukan pistol oleh seorang daripada lima lelaki yang menyamunnya di kawasan Jalan Bukit Bintang, di sini Khamis.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Mohamed Riyas, 26, ketika itu membawa sejumlah RM50,000 wang tunai untuk dihantar ke sebuah premis pengurup wang di kawasan berkenaan sebelum didatangi kumpulan penjenayah tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad, ketika kejadian Mohamed Riyas menunggang sebuah motosikal dikepung kelima-lima lelaki itu berumur antara 20 dan 27 tahun, yang menaiki tiga buah motosikal.

“Salah seorang daripada suspek mengacu pistol ke arah mangsa dan memintanya menyerahkan duit. Dua daripada suspek kemudian mengambil telefon bimbit dan wang tunai RM50,000 daripada poket seluar mangsa sebelum melarikan diri,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama hari ini.

Zainuddin berkata sebelum melarikan diri, suspek merampas kunci motosikal mangsa dan Mohamed Riyas sempat melihat nombor plat salah sebuah motosikal penjenayah.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis dan hasil pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran motosikal berkenaan adalah palsu," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain