suria

Pahang Terus Terima Pelaburan Asing Di Sebalik Isu Lynas

BENTONG: Pahang terus menerima pelaburan asing meskipun isu kilang Lynas di Gebeng, Kuantan masih dibangkitkan pembangkang, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau berkata terbaru, pelabur dari negara China bersetuju melabur RM1 bilion bagi membina sebuah kilang dan membesarkan pelabuhan Kuantan demi kepentingan perdagangan.

Selain itu, katanya, negeri itu turut menerima pelaburan asing RM2 bilion setiap tahun yang membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Pahang.

"Jika benar pembinaan kilang Lynas itu bahaya, kenapa ramai pelabur luar terus berminat melabur di Kuantan, malah sebuah sekolah Cina persendirian akan dibina di Kuantan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Majlis Perbandaran Bentong di sini, malam Khamis.

Adnan berkata, senario itu membuktikan bahawa pembinaan kilang Lynas itu tidak berbahaya dan sengaja dipolitikkan pakatan pembangkang menjelang pilihan raya umum, tidak lama lagi.

Katanya, setakat ini beliau belum menerima laporan mengenai penjualan tanah atau rumah di kawasan Gebeng oleh penduduk setempat kerana bimbangkan operasi syarikat pemprosesan nadir bumi dari Australia itu, didakwa menghasilkan radiasi yang boleh memudaratkan kesihatan.

Sebaliknya, Adnan berkata semakin ramai yang menemuinya bagi mendapatkan sokongan, peluang pekerjaan dan kontrak di kilang Lynas.

Lynas memilih beroperasi di Malaysia kerana kos pengeluarannya lebih murah berbanding Australia sementara China telah memperketat eksport produk itu.

Lynas juga telah memperoleh lesen untuk membina kilang di kedua-dua negara itu. - BERNAMA

Artikel Lain