suria

Lima Culik Ahli Perniagaan Ditahan

MELAKA: Tindakan pantas polis berjaya menumpaskan penculikan seorang ahli perniagaan dan membawa kepada penahanan lima lelaki dekat plaza tol Ayer Keroh di sini selepas berlakunya adegan kejar-mengejar.

Drama tersebut bermula kira-kira 9.10 malam Rabu apabila jutawan dari Bukit Katil itu yang terlibat dalam perniagaan hartanah ditarik keluar dari sebuah kereta di Kampung Portugis, Ujong Pasir.

Ahli perniagaan berusia 36 tahun itu yang dikenali sebagai Ah Lang tiba menggunakan sebuah kereta Porsche untuk berbincang mengenai urusan hartanah dengan lima individu.

Menurut saksi, kekecohan berlaku selepas dia meletakkan kereta dan dilarikan menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, polis menerima panggilan kira-kira pukul 9.15 malam dan menghantar unit peronda ke tempat kejadian.

"Operasi dilancarkan serta merta untuk mengesan sebuah Toyota Alphard berwarna hitam dan menyelamatkan mangsa," katanya.

Dalam usaha mengelirukan polis, suspek turut menghubungi adik bongsu mangsa dengan mengatakan bahawa Ah Lang berada di sebuah pusat karaoke di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, adik mangsa memberitahu polis bahawa Ah Lang tidak suka berhibur.

"Ini mendorong kita untuk mengesan kesemua panggilan yang dibuat kepada adiknya," katanya.

Penculik itu kemudiannya membawa Ah Lang ke Kuala Lumpur dan meminta wang HK$20 juta (RM10 juta) sebagai bayaran broker untuk urusan hartanah di Hong Kong.

Mereka kemudiannya membawa mangsa kembali ke Melaka, tempat untuk membincangkan urusan hartanah dengan lebih lanjut apabila polis mengesan kenderaan tersebut dekat plaza tol Ayer Keroh sebelum berlakunya adegan kejar-mengejar.

Kenderaan tersebut berjaya dipintas di sebuah lampu isyarat kira-kira 800 meter pada pukul 5.30 petang Khamis.

Raja Sharom berkata, kelima-lima suspek berusia di antara 36 hingga 51 tahun berasal dari Melaka, Johor Baru dan Kota Kinabalu.

Mereka ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan.

Salah seorang suspek mengenali mangsa manakala empat yang lain mempunyai rekod jenayah.

Raja Sharom berkata, ahli perniagaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi polis menghantar mangsa ke hospital untuk pemeriksaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan P.R. Gunarajan yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat itu berkata, polis menjejaki mangsa menerusi panggilan telefon yang dibuat kepada adik mangsa.

Beliau berkata, polis di Kuala Lumpur turut bersiap sedia dan beberapa kereta peronda turut bergegas ke plaza tol Sungai Besi sebaik saja maklumat bahawa penculik menuju ke ibu negara diterima.

"Kami difahamkan kira-kira pukul 5.20 pagi, penculik memandu kembali ke Melaka dan menghampiri plaza tol Ayer Keroh, kami sudah bersedia untuk menahan mereka," katanya.

Artikel Lain