suria

Lelaki Yang Ditembak Meninggal Dunia

SHAH ALAM: Seorang lelaki yang dipercayai anggota kumpulan samseng yang cedera ditembak selepas menyerang pasukan polis ketika cuba menahannya kerana terlibat dalam pergaduhan di Pandan Perdana Isnin lepas, meninggal dunia pagi tadi.

Timbalan Siasatan Jenayah Risikan dan Operasi IPK Selangor, ACP Rosli Mohd Isa berkata suspek berusia 26 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang kira-kira pukul 6 pagi akibat kecederaan teruk di bahagian leher.

Berikutan kejadian itu, polis menahan sembilan lelaki berumur lingkungan 25 dan 32 tahun di sekitar Ampang semalam, yang disyaki turut terlibat dalam pergaduhan berkenaan bagi membantu siasatan, katanya pada sidang media di sini.

Dalam kejadian pukul 1.15 pagi itu, polis menerima laporan mengenai pergaduhan dua kumpulan di kawasan pangsapuri di Pandan Perdana sebelum menghantar sepasukan lapan anggota ke tempat kejadian.

Menyedari kehadiran polis, suspek dan empat lagi rakannya masuk ke dalam kereta jenis Hyundai untuk melarikan diri sebelum dikejar pasukan polis yang kemudian mengesan mereka di Tasik Permai.

Kelima-lima suspek berumur 26 hingga 30 tahun itu kemudian meluru keluar daripada kereta dan cuba menyerang anggota polis menggunakan parang, pisau pemotong daging dan besi, sebelum polis bertindak melepaskan dua das tembakan ke arah suspek dan menahan mereka.

Rosli berkata kesemua lelaki itu direman sehingga Sabtu ini.

Dalam kes lain, polis giat menjejaki tiga lelaki berumur lingkungan 30-an yang disyaki terbabit dalam kes curi kereta mewah dalam dua kejadian di sekitar Kajang, semalam.

Rosli berkata dalam kes pertama, seorang pekerja di sebuah kilang di Taman Perindustrian Kajang mengalami kerugian hampir RM90,000 apabila kereta Toyota Hilux milik syarikatnya dilarikan suspek dalam kejadian pukul 1.50 pagi. "Mangsa pada waktu itu memandu kenderaan menuju ke kilang... belum sempat sampai ke pekarangan kilang, kenderaan yang dipandu mangsa dihalang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki tiga suspek.

"Terkejut dengan tindakan itu, mangsa memberhentikan kenderaannya, sebelum seorang daripada suspek yang bersenjata parang keluar daripada kereta dan bertindak mengugut mangsa agar menyerahkan Toyota Hilux terbabit," katanya.

Beliau berkata dua jam selepas kejadian pertama, sebuah lagi kenderaan jenis Mitsubishi Triton turut dilarikan kumpulan penjenayah sama.

"Kejadian kedua pula berlaku kira-kira pukul 3.40 pagi, kali ini kumpulan berkenaan melarikan kereta milik seorang lelaki berusia 53 tahun di Batu 9, Cheras dan mereka turut menggunakan modus operandi yang sama untuk melarikan kenderaan mangsa," kata Rosli.-BERNAMA

Artikel Lain