suria

IJN Anjur Jamuan Amal, Kumpul Dana Untuk Pesakit Jantung

KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) akan menganjurkan jamuan malam amal pada 22 Sept ini, bagi mengumpul dana untuk pesakit jantung yang tidak berkemampuan di institut itu.

Pengerusi penganjur Datin Julini Mohd Ali berkata jamuan bertema '20 Years of Mending Hearts' (20 Tahun Memulihkan Jantung) itu juga bertujuan membiayai penyelidikan yang dilakukan pakar jantung IJN mengenai penyakit kardiovaskular.

"Kami merayu kepada semua pihak agar tampil menyokong acara ini bagi membolehkan kami membantu mereka yang menghadapi masalah kewangan dan mewujudkan jagaan kesihatan yang lebih baik untuk negara," katanya dalam kenyataan, di sini, Jumaat.

Katanya jamuan malam tahun ini juga akan menjadi acara bersejarah kerana IJN meraikan ulang tahun ke-20 bersama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengilhamkan penubuhan institut itu.

Julini yang juga Pengerusi Yayasan Pengumpulan Dana IJN, berkata mereka menyasarkan 1,000 kehadiran menerusi pembelian meja berharga antara RM3,000 dan RM8,000 atau tempat duduk berharga RM820, RM520 dan RM320 setiap satu atau pakej penajaan RM30,000.

Mereka yang berminat boleh hubungi jawatankuasa penganjur menerusi talian 03-26178312 dan 03-26178315, katanya.-BERNAMA

Artikel Lain