suria

50,000 Pelatih PLKN Kumpulan Tiga Mulakan Latihan 9 September Ini

KOTA BARU: Kira-kira 50,000 pelatih Kumpulan 3 Siri Ke-9 Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tahun ini, akan mula mengikuti latihan di 81 kem latihan di seluruh negara pada 9 September depan.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata semua bekas pelajar sekolah yang layak menyertai program itu menerima surat masing-masing daripada jabatannya atau melalui laman sesawang atau khidmat pesanan ringkas (SMS) JLKN.

"Dengan penetapan tarikh itu juga memberi peluang kepada mereka untuk menyambut Aidilfitri ini bersama rakan pelatih yang lain di kem masing-masing, kerana tarikh tersebut (9 Sept) masih dalam suasana hari raya," katanya.

Abdul Hadi berkata terserah kepada komander kem masing-masing untuk mengatur program sambutan hari raya sebagai mengisi aktiviti orentasi di kalangan pelatih yang terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya dan agama.

"Program itu juga memberi kesempatan untuk mereka berkenalan dan menyesuaikan diri sesama pelatih lain," katanya.

Pada 14 Julai lepas, 24,000 pelatih Kumpulan 2 siri sama telah tamat mengikuti program itu di semua kem PLKN di seluruh negara, dan memberi peluang kepada mereka menunaikan ibadat puasa dan berhari raya bersama keluarga.- BERNAMA

Artikel Lain