suria

Suspek Utama Kes Pukul Guru Dan Anak Serah Diri

KUALA TERENGGANU: Seorang daripada tujuh suspek yang terlibat dalam kes menyerang seorang guru dan anaknya di Jalan Sultan Mahmud di sini, 12.30 tengah malam Rabu tampil menyerah diri malam yang sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K. Manoharan berkata, suspek utama yang juga pemilik kereta Perodua Myvi itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada 11 malam hari yang sama.

Katanya, suspek yang berusia 26 tahun itu juga turut membuat laporan polis dengan mendakwa anak guru yang berusia 20 tahun itu merupakan terlebih dahulu menimbulkan provokasi dengan menunjukkan isyarat lucah kepadanya serta empat lagi rakannya di dalam kereta.

"Kita sedang menjalankan siasatan terperinci ke atas kedua-dua laporan yang telah dibuat dan polis juga akan mengambil tindakan ke atas semua pihak yang terlibat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini Khamis.

Manoharan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku perselisihan faham antara punca suspek bertindak sedemikian.

Pada Rabu, dua beranak cedera di muka, kepala dan badan setelah diserang dan dipukul sekumpulan lelaki tidak dikenali lewat tengah malam di hadapan Bank Simpanan Nasional (BSN) Jalan Sultan Mahmud setelah dihalang sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara yang dinaiki dua orang bersama kumpulan lima orang dalam Perodua Myvi.

Insiden tersebut difahamkan tercetus ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Batu Buruk di mana kereta yang dinaiki keluarga guru itu dihimpit sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki lima lelaki, dengan seorang daripada mereka menunjukkan isyarat lucah.

Namun guru yang berusia 46 tahun itu tidak mengendahkan kelima-lima lelaki tersebut dan meneruskan perjalanan dari Chendering ke Bandar Kuala Terengganu sehinggalah kenderaan guru itu dihalang kumpulan tujuh lelaki itu.

Mereka menarik keluar penuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) hingga menyebabkan si ayah cuba membantu namun turut dibelasah kumpulan lelaki berkenaan.

Suspek yang menyerah diri itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut dan polis kini memburu baki kumpulan itu untuk disoal siasat. - BERNAMA

Artikel Lain