suria

Lebih Banyak Pusat Beli-Belah Hantar Pengawal Jadi Polis Bantuan

PETALING JAYA: Lebih banyak pusat membeli-belah menghantar pengawal keselamatan mereka untuk dilatih sebagai polis bantuan, yang menyifatkan ia bukan sahaja akan meningkatkan keselamatan tetapi juga untuk moral kakitangan.

Presiden Pengurusan Kompleks dan Pusat Membeli-Belah, H. C. Chan berkata, sekurang-kurangnya berbelas pengurusan pusat membeli-belah memohon latihan polis bantuan untuk pengawal mereka daripada empat sebelum ini.

Mereka termasuk Pavilion, Tropicana City Mall, Suria KLCC, dan Sunway Pyramid di mana Chan merupakan ketua pegawai eksekutifnya.

“Kami mendapati terdapat produktiviti lebih tinggi di kalangan pengawal. Mereka ternyata lebih peka dan berdisiplin,” katanya di pejabatnya pada Rabu.

Beliau menambah, mereka masih dinasihatkan untuk menggaji pengawal yang cukup terlatih daripada yang tidak terlatih.

“Mereka sudah pun bekerja denngan pengurusan pusat membeli-belah, maka latihan hanyalah sebagai tambahan kepada kemahiran yang diperlukan,” katanya.

Pengawal tempatan perlu menjalani proses pemilihan yang ketat untuk diterima dilatih sebagai polis bantuan.

Walaupun mereka bukan pasukan polis, mereka akan memakai pakaian yang serupa warna biru, dibenarkan membawa senjata api ketika bertugas dan membuat penangkapan, tetapi tidak menjalankan soal siasat.

Baru sahaja menghantar satu kumpulan yang terdiri daripada 20 orang pengawal, Sunway Pyramid dijangka akan menambahkan bilangan polis bantuannya kepada 50 orang, tambahan kepada 50 pengawal sudah berkhidmat.

Chan berkata, pusat membeli-belah juga boleh kembali kepada asas-asas pencegahan jenayah dengan menaik taraf rekaan bangunan.

“Mereka boleh menerangkan lagi kawasan parkir atau meletakkan dinding bercermin di lif dan tangga lobi bagi menghasilkan kesan cahaya dan juga untuk mengelakkan daripada pandangan mata tersembunyi di mana jenayah boleh berlaku.”

Pengurusan pusat membeli-belah di Lembah Klang mula menghantar para pengawal mereka untuk latihan selepas beberapa serangan berprofil tinggi ke atas pelanggan baru-baru ini.

Dengan yuran RM5,000 seorang, setiap pengawal akan menjalani latihan selama lapan minggu di berek polis.

Pengurusan Mid Valley Megamall turut berkata, mereka sudah pun memohon untuk menghantar sebahagian pengawalnya untuk latihan.

Penolong pengurus perhubungan awamnya, Stephanie Tan berkata, pusat membeli-belah itu turut meningkatkan bilangan pengawal.

Artikel Lain