suria

Jurukimpal Maut Ditikam Adik Ipar

MELAKA: Gara-gara menegur supaya tidak memukul isteri, seorang jurukimpal maut ditikam adik iparnya dalam satu pergelutan di rumah ibu mangsa di Serkam Pantai di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa, Rashid Ahmad, 46, mengalami kecederaan parah di bahagian pinggang kirinya akibat ditikam dengan pisau oleh suspek yang berumur 41 tahun.

Beliau berkata kejadian bermula apabila mangsa menegur adik iparnya kerana sering memukul isterinya yang berumur 36 tahun yang juga adik kepada mangsa.

"Pertengkaran tersebut diikuti dengan pergelutan di mana suspek kemudiannya mengeluarkan pisau dan menikam pinggang kiri Rashid," katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini, Khamis.

Raja Shahrom berkata, suspek yang merupakan seorang pemandu di Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya kemudian melarikan diri menaiki kenderaannya iaitu Proton Iswara berwarna hitam dan bernombor plat NCB3205.

"Mangsa dibawa ke Unit Rawatan Rapi Hospital Melaka pada jam 7.30 malam sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.40 pagi dan mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seremban untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan suspek dinasihatkan menyerah diri bagi membantu siasatan dan orang awam yang melihat kenderaan suspek juga diminta menghubungi balai polis berhampiran.

Dalam perkembangan lain, polis menahan lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam penculikan seorang ahli perniagaan hartanah yang berumur 36 tahun setelah diculik lebih lapan jam di Perkampungan Portugis Ujong Pasir di sini malam tadi.

Pada kejadian jam 9 malam itu, mangsa yang menaiki sebuah kenderaan mewah untuk makan bersama rakannya di medan selera di situ ditarik menaiki sebuah kenderaan mewah sebaik tiba di lokasi kejadian.

Raja Shahrom berkata mangsa kemudian dibawa ke sebuah pusat karaoke di Kuala Lumpur dan diminta membuat bayaran berjumlah HK$20 juta, berkaitan perniagaannya di Hong Kong yang dipercayai dijalankan antara salah seorang suspek dan mangsa.

Beliau berkata kelima-lima lelaki berusia antara 36 hingga 51 tahun itu ditahan berhampiran Tol Ayer Keroh yang menaiki sebuah kenderaan lain pada jam 5.30 pagi tadi.

"Mangsa ditemui bersama lima lelaki yang ditahan itu dan kita percaya mangsa dibawa balik untuk rundingan lanjut berkaitan bayaran yang diminta.

"Namun masih terlalu awal untuk kita mendedahkan rundingan tersebut.Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata kesemua yang ditahan direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melakukan culik.-BERNAMA

Artikel Lain