suria

Guru Dan Anak Lelaki Cedera Diserang Samseng

KUALA TERENGGANU: Dua beranak cedera di muka, kepala dan badan setelah diserang dan dipukul sekumpulan lelaki tidak dikenali di Jalan Sultan Mahmud di sini, lewat tengah malam Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata, dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, guru yang berusia 46 tahun tersebut bersama isteri dan tiga anak mereka dalam perjalanan dari Chendering ke Kuala Terengganu.

Ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Batu Buruk, kereta yang dinaiki keluarga guru itu dihimpit sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki lima lelaki, dengan seorang daripada mereka menunjukkan isyarat lucah.

"Guru berkenaan tidak mengendahkan kelima-lima lelaki tersebut dan meneruskan perjalanan. Namun ketika sampai di hadapan Bank Simpanan Nasional (BSN) Jalan Sultan Mahmud, kenderaannya dihalang sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara yang dinaiki tiga lelaki, memaksanya berhenti," katanya pada sidang media, di sini Rabu.

Manoharan berkata, Perodua Myvi itu yang mengekori turut berhenti di sisi kereta guru berkenaan sebelum suspek bertindak membuka pintu kereta dan menarik anak lelaki guru tersebut yang berusia 20 tahun.

Kumpulan lapan lelaki itu kemudian memukul dan menendang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam tersebut menyebabkan si ayah cuba membantu namun turut dibelasah kumpulan lelaki berkenaan.

Isteri mangsa juga turut ditolak kumpulan lelaki tersebut, katanya.

"Mangsa tidak tahu punca sebenar dia dan anaknya dipukul sedemikian rupa dan polis masih menyiasat motif serangan sama ada perselisihan faham atau sebaliknya.

"Kita telah mengenal pasti pemilik kereta Perodua Myvi dan gerakan memburu suspek bersama rakan-rakannya yang berumur lingkungan 28 tahun ke atas itu sedang giat dijalankan," katanya.

Beliau juga meminta suspek yang terlibat dalam insiden pergaduhan itu agar tampil menyerah diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain