suria

Suami Isteri Rakyat Myanmar Didakwa Cederakan Tukang Cuci

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri rakyat Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Rabu terhadap pertuduhan mencederakan seorang tukang cuci menggunakan batang besi, minggu lepas.

Tohiyah Kassim dan Abdul Rashid Mohd Ali, masing-masing berusia 35 tahun bersama-sama didakwa mencederakan Sultan U Kasim, 29, yang juga rakyat Myanmar, dengan memukul menggunakan batang besi sepanjang 40 inci (101.6cm) di bawah Blok C, PPR Kampung Baru Air Panas Setapak, Sentul di sini pada pukul 10.30 pagi 13 Ogos lepas.

Kedua-dua tertuduh, yang masing-masing bekerja sebagai tukang cuci dan tukang kebun, didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Majistret Azmil Muntapha Abas membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan dua orang penjamin rakyat tempatan dan menetapkan 18 Oktober untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Zuraimi Kamarozzaman. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain