suria

Minta Bayar Hutang RM30, Pemuda Mati Dibelasah Rakan

KUALA LUMPUR: Hanya kerana meminta membayar hutang RM30, seorang buruh kontrak mati setelah dibelasah rakannya di Taman Perindustrian Maju Jaya, Puchong Utama, dekat sini awal pagi Selasa.

Mohamad Khairul Anuar Osman, 28, disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira 4 pagi tadi akibat cedera parah di kepala dan tangan kirinya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superitendan Tan Ah Chua berkata, kejadian itu dipercayai berlaku setelah suspek, seorang lelaki berusia 55 tahun, berang apabila Mohamad Khairul Anuar meminta membayar hutangnya.

"Pada kira-kira 6 petang Sabtu lepas, mangsa dikatakan bergaduh dengan suspek yang berhutang RM30 dengannya.

"Akibat tidak puas hati dengan pergaduhan itu, suspek dan rakannya pergi ke rumah sewa mangsa kira-kira 4.30 pagi menyerang mangsa menggunakan kayu panjang," katanya dalam sistem pesanan ringkas di sini hari ini.

Selepas memukul Mohamad Khairul Anuar, katanya suspek dan rakannya melarikan diri bersama senjata yang digunakan.

Rakan serumah Mohamad Khairul Anuar kemudian membawa mangsa ke Hospital Serdang sebelum dia dirujuk ke HKL untuk rawatan lanjut, kata Tan.

Beliau berkata, suspek dan rakannya telah diberkas polis kira-kira 1.30 petang tadi di kawasan Bukit Nanas di sini dan merampas senjata yang digunakan mereka dari kereta suspek.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain