suria

Kilang Haram Di Salak Selatan Terbakar

KUALA LUMPUR: Empat lot kilang perabot dan besi di kawasan perumahan di Jalan 27, Kampung Baru Salak Selatan dekat sini hangus terbakar tengah hari Selasa.

Penolong Kanan Penguasa Bomba, Christopher Chong Hon Fah berkata, siasatan awal mendapati kilang itu dipercayai kilang haram kerana ia beroperasi dari rumah yang diubah suai sebagai kilang.

“Satu daripada premis itu merupakan rumah dua tingkat yang turut dihuni pemiliknya di tingkat atas," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, ketika kejadian kira-kira 12.45 tengah hari itu, terdapat empat orang yang dipercayai pekerja di dalam premis.

Namun mereka berjaya menyelamatkan diri, katanya.

Sebanyak lima jentera beserta 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur digegaskan ke tempat kejadian dan sampai kira-kira 1 petang. Api berjaya dikawal 15 minit kemudian.

Chong berkata, pihak bomba mengalami kesukaran untuk memasuki kawasan berkenaan kerana kawasan sekitar yang padat selain laluan sempit.

Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat.

Seorang pemilik premis berkata, dia menjalankan perniagaan di situ selama 40 tahun dan menganggarkan kerugiannya mencecah RM100,000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain