suria

Laman Facebook Berbaur Hasutan, Pemuda Umno Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno pada Isnin membuat laporan polis berhubung kewujudan laman sosial Facebook menggunakan nama pergerakan itu, yang memaparkan poster berbaur hasutan.

Setiausaha Kerja Pemuda Barisan Nasional, Ibdilillah Ishak berkata, laporan itu dibuat bagi menggesa polis menjalankan siasatan berhubung pengendali dan pentadbir laman facebook tersebut yang kini mempunyai 50,000 pengikut.

"Saya menyedari kewujudan laman sosial palsu tersebut pada Sabtu lepas yang meletakkan profilnya sebagai 'Pemuda Umno Malaysia' dan mengeluarkan satu paparan poster berbaur hasutan dengan tulisan "Jika anda setuju untuk jadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia, teruskan sokongan anda kepada Pakatan Rakyat. God bless you'.

"Insiden sebegini bukan sahaja boleh memecah-belahkan rakyat tetapi juga membuahkan fitnah dan imej salah kepada Pemuda Umno," katanya selepas membuat laporan itu pada pukul 4 petang di Balai Polis Tun H.S Lee di sini Isnin.

Ibdilillah yang juga Anggota Jawatankuasa Pemuda Umno berkata, laporan itu dibuat selepas diarahkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk berbuat demikian.

Laman sosial itu memaparkan wajah Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di bahagian utama dan disusuli dengan siri laporan berkaitan dengan aktiviti pemimpin Umno khususnya dari Selangor.

Mengulas mengenai laman facebook tersebut, Ibdilillah berkata, Pemuda Umno sememangnya memiliki laman facebook milik pergerakan itu yang sah namun tidak aktif.

"Petang tadi, bila saya periksa semula akaun facebook tersebut, ia sudah tiada. Tetapi saya sempat mengambil gambar 'screen shot page' facebook itu dan berikan pada polis untuk siasatan," katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak perbuatan itu dilakukan untuk menjatuhkan Pemuda Umno serta mempunyai kaitan dengan bahang pilihan raya akan datang. - BERNAMA

Artikel Lain