suria

Trafik Meningkat Di Lebuhraya Utara-Selatan Namun Masih Terkawal

KUALA LUMPUR: Keadaan trafik di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dilaporkan meningkat sejak pukul 10 pagi Isnin namun masih bergerak lancar.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressways Bhd bagaimanapun berkata, di arah selatan, trafik dilaporkan bergerak perlahan dari Putra Mahkota menghala ke Seremban.

"Trafik di Plaza Tol Sg Besi menghala ke selatan juga mulai bertambah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Beliau berkata, keadaan trafik bergerak lancar bagi kedua-dua arah di beberapa lebuh raya lain seperti di Plaza Tol Duta, New Klang Valley Expressway (NKVE) dan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite).

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pula melaporkan trafik masih bergerak lancar di Lebuhraya Karak menghala ke Pantai Timur termasuk di Plaza Tol Gombak.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya Plus menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik. - BERNAMA

Artikel Lain