suria

Pertumbuhan Ekonomi Kerana Sokongan Agenda Transformasi - PM

PUTRAJAYA: Walaupun sibuk menjadi tuan kepada beribu-ribu orang yang menghadiri rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediaman rasmi di Seri Perdana di sini Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa untuk memberi ucapan kepada rakyat Malaysia yang bekerja atau belajar di Beijing, London, Tokyo, Canberra dan Jakarta menerusi sidang video.

Dalam sesi beliau bersama wakil-wakil rakyat Malaysia, yang turut melibatkan kakitangan Kementerian Luar, Najib berkata, pencapaian ekonomi Malaysia baru-baru ini dengan pertumbuhan 5.4 peratus dalam kewangan suku kedua telah mendapat pujian daripada pakar-pakar kewangan antarabangsa.

“Ini menunjukkan sekiranya kita memberi sokongan padu kepada agenda transformasi negara, kita akan mampu mencapai pertumbuhan ekonomi yang memanfaatkan rakyat.

“Kita harap kejayaan ini akan membanggakan seluruh rakyat Malaysia di sini dan luar negara... di mana mereka mewakili sebuah negara yang unik,” kata beliau pada sesi tersebut.

Najib turut meluahkan rasa gembiranya apabila rakyat Malaysia terus mengamalkan sambutan rumah terbuka yang unik walaupun berada di luar negara, termasuk menyediakan makanan tradisional seperti lemang, ketupat dan rendang kepada para tetamu.

Beliau menyifatkan tradisi rumah terbuka rakyat Malaysia sebagai satu amalan yang unik yang perlu diamalkan oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini bagi menyambut musim perayaan.

“Saya minta rakyat Malaysia bukan sahaja mengamalkan tradisi rumah terbuka tetapi turut membuka hati mereka untuk menunjukkan kepada dunia kegembiraan yang disambut di negara kita semasa musim perayaan,” kata beliau.

Artikel Lain