suria

Wanita Rugi Lebih RM100,000 Diperdaya Ubah Nasib Anak

MELAKA: Seorang wanita mengalami kerugian wang tunai dan barangan kemas berjumlah RM107,000 selepas diperdaya untuk mengubah nasib anaknya yang kononnya akan mengalami kemalangan, Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka Supt Soh Hock Sing berkata dalam kejadian di medan selera Malim itu, wanita berusia 50-an berkenaan diminta menyerahkan barang kemas oleh tukang tilik nasib sebelum membalutnya dalam surat khabar dan plastik hitam dengan alasan untuk disembahyangkan bagi membuang bala.

Beliau berkata pada masa sama suspek menukar bungkusan plastik itu dengan bungkusan yang diisi jagung dan dua botol air mineral serta menyarankan mangsa membuka bungkusan itu selepas tiga hari.

"Mangsa turut diugut supaya tidak memberitahu pihak ketiga agar upacara membuang bala itu berkesan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Katanya kes itu dipercayai didalangi tiga wanita rakyat China berusia antara 40 hingga 50 tahun.

Soh berkata ahli kumpulan terbabit pada mulanya akan bergerak secara berseorangan di kawasan sasaran seperti pasar, medan selera, tokong dan bank untuk mencari mangsa sebelum disertai dua lagi rakan subahat mereka dengan seorang berpura-pura menjadi 'tok guru'.

Beliau berkata pihaknya menerima lapan laporan berhubung kes penipuan itu di kawasan Melaka Tengah dan Jasin dengan kerugian berjumlah RM607,470 dalam tempoh lapan bulan ini.

Dalam perkembangan lain, polis menahan empat lelaki berusia antara 18 dan 30 tahun dipercayai terlibat dalam 14 kes penipuan gores dan menang melibatkan kerugian lebih RM59,800 sejak Januari lepas.

Soh berkata kesemua mereka ditahan ketika sedang memperdaya seorang wanita berusia 20-an untuk menggores kad cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai barangan termasuk tilam pengurut elektrik dan ketuhar di sebuah rumah kedai di Malim di sini pada pukul 11 pagi semalam.

Beliau berkata serbuan itu berjaya menyelamatkan mangsa daripada mengalami kerugian berjumlah RM1,000 dan ujian air kencing ke atas keempat-empat suspek mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Kumpulan terbabit, katanya menjadikan wanita dari golongan profesional dan berkemampuan dari segi kewangan seperti guru, jururawat, pensyarah, pelajar serta penjawat awam sebagai mangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Iran Maut Ditikam

Artikel Berikut

Artikel Lain