suria

Kanak-Kanak Lima Tahun T.Satishkumar Masih Belum Ditemui

GEORGE TOWN: T.Satishkumar, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dilaporkan hilang di kawasan Jalan Permatang Pauh, Seberang Perai sejak 8 Ogos lepas masih belum ditemui.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata semakan dijalankan di setiap hospital bagi memeriksa sama ada Satishkumar ditimpa kemalangan, namun tiada rekod ditemui.

"Sehingga kini polis juga tidak menerima sebarang aduan mengenai ugutan meminta wang tebusan bagi menuntut Satishkumar," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau berkata ketika kejadian, Satishkumar yang tinggal di Butterworth sedang dalam perjalanan menuju ke Bukit Kayu Hitam bersama datuk dan bapa tirinya sebelum dilaporkan hilang.

"Mereka sebelum itu berhenti di Jalan Permatang Pauh kerana datuknya hendak membeli barang dan dia (Satishkumar) ikut sekali turun tetapi datuknya tidak tahu.

"Bila datuknya kembali semula, dia mendapati cucunya tiada dan bapa tiri Satishkumar memaklumkan bahawa kanak-kanak itu sebenarnya turun bersama datuknya tadi," katanya.

Mazlan berkata kali terakhir kanak-kanak itu dilihat memakai seluar pendek berwarna hijau, baju-t, bertopi kuning dengan corak spiderman, berkasut dan lengkap berstokin.

Beliau berkata orang ramai yang menjumpai atau mempunyai maklumat berhubung kehilangan kanak-kanak itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohamad Ehsan Abu Bakar di talian 012-2494002. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Iran Maut Ditikam

Artikel Berikut

Artikel Lain