suria

Pusat Beli-Belah Diberi Gred Berdasarkan Tahap Keselamatan - Persatuan Pengguna

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dicadang supaya memperkenalkan sistem gred ke atas pusat beli-belah di negara ini berdasarkan kepada tahap keselamatan di premis berkenaan.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Maa'mor Osman berkata ia bagi memastikan orang ramai tahu premis mana yang mempunyai tahap keselamatan terbaik untuk para pengguna.

"Ia sama macam gred yang diberikan kepada premis makanan ikut kebersihan premis itu, misalnya A untuk bersih dan sebagainya," katanya kepada Bernama sebagai mengulas cadangan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya orang ramai memboikot pusat beli-belah yang mengabaikan aspek keselamatan di premis mereka.

Maa'mor berkata cadangan memperkenalkan sistem gred bukan bertujuan menyekat kedatangan pengunjung ke sesebuah premis, sebaliknya untuk memastikan tiada pemilik pusat beli-belah yang memandang ringan soal keselamatan dan pada masa sama mewujudkan daya saing.

Bagaimanapun Presiden Persatuan Keselamatan Pengguna, Samsuddin Mohamad Fauzi berpendapat soal keselamatan orang ramai di pusat beli-belah tidak boleh dinilai dengan memberikan gred tertentu.

"Dalam soal keselamatan ini kita tak boleh kata yang ini lebih tinggi, yang ini lebih rendah kerana semua premis wajib mengikut piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa," jelasnya.

Sementara itu Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abd Rahman berkata tindakan boikot terhadap pusat beli-belah yang mengabaikan keselamatan pengguna bukan satu cadangan yang terbaik.

Beliau berkata sebelum ini banyak cadangan boikot misalnya terhadap produk dan barangan telah disuarakan oleh pelbagai pihak namun ia kurang mendapat sambutan daripada pengguna.

Mohd Yusof berkata apa yang penting adalah kesedaran pengguna itu sendiri untuk melaksanakan hak mereka dalam mendapatkan perkhidmatan yang terbaik.

"Maka, kalau pengguna rasa premis itu tak bertanggungjawab, sambil lewa terhadap keselamatan maka mereka sendiri sepatutnya secara automatik tak datang ke situ," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Iran Maut Ditikam

Artikel Lain