suria

Pindaan Akta Keterangan 1950 Kekal

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata tidak ada sebab untuk rakyat takut dengan peruntukan Sekyen 114A Akta Keterangan 1950 kerana ia dilaksanakan berdasarkan anggapan fakta dan bukannya anggapan bersalah.

Beliau berkata mana-mana pihak yang dituduh mengikut peruntukan Seksyen 114A mempunyai hak untuk menangkis dakwaan itu di mahkamah.

"Dan terserah kepada mahkamah akhirnya untuk memberikan justifikasi apa yang perlu dilakukan (putuskan)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan iklan teksi bertujuan mempromosi Hari Kemerdekaan dan budi bahasa di sini, Khamis.

Beliau mengulas permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya Jemaah Menteri berbincang mengenai peruntukan seksyen itu yang telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat termasuk pengamal media dan ahli politik.

Rais berkata dalam perbincangan semalam, Kabinet memutuskan bahawa pewartaan undang-undang itu adalah wajar kerana telah melalui proses penggubalan yang sepatutnya.

Ditanya sama ada akta itu akan dipinda lagi, Rais berkata: "Kabinet tidak ada mencadangkan sedemikian."

"Penelitian seperti itu yang telah dilunaskan oleh Jabatan Peguam Negara, dan diluluskan oleh Parlimen seharusnya tidak dirungkai lagi sebab sudah cukup perbahasannya."

Seksyen 114A ialah satu daripada dua pindaan yang dibuat terhadap Akta Keterangan yang telah diwartakan Julai lepas.

Ia dikatakan berat sebelah kerana undang-undang boleh mendakwa mereka yang menyiar atau menyalin semula atau memaparkan kandungan seperti hasutan dan fitnah walaupun bukan mereka yang menghasilkan bahan itu.

Rais menjelaskan bahawa butiran Seksyen 114A yang memberi anggapan adalah biasa bagi undang-undang yang berasaskan kedaulatan undang-undang seperti undang-undang berkaitan hasutan, dadah, hubungan kontrak dan sebagainya.

"Ini menjadi isu bangkangan saja," katanya, sambil menambah kerajaan akan terus mendengar pelbagai sentimen yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu. Beliau bagaimanapun berkata buat masa ini peruntukan Seksyen 114A itu kekal seperti yang ada sekarang.

"Parlimen telah secara rasmi meluluskan rang undang-undang ini dan ia sudah diwartakan sebagai undang-undang. Oleh itu, hanya baru sekarang untuk mengatakan yang anda perlu lakukan sesuatu yang lain, ia sebenarnya pandangan politik yang hanya difikirkan kemudian. Ia bukan sesuatu yang sebenarnya berdasarkan pada kesahihan atau ketidaksahihannya," katanya.

Beliau juga berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang bertanggungjawab menguruskan Parlimen dan hal ehwal undang-undang, dijangka membuat penjelasan terperinci berhubung pelaksanaan Seksyen 114A tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Iran Maut Ditikam

Artikel Lain