suria

Pemergian Punch Diiringi Tangisan

Cheah Soon Kit (dua, kanan) memberi penghormatan terakhir kepada Punch di kediamannya di Petaling Jaya.
Cheah Soon Kit (dua, kanan) memberi penghormatan terakhir kepada Punch di kediamannya di Petaling Jaya.
Cheah Soon Kit (dua, kanan) memberi penghormatan terakhir kepada Punch di kediamannya di Petaling Jaya.

PETALING JAYA: Keluarga dan rakan-rakan Datuk Punch Gunalan mengucapkan selamat tinggal kepada legenda badminton dengan tangisan dalam majlis yang suram.

Rakan-rakan beliau memberikan penghormatan terhadap pencapaiannya yang pelbagai dan mengenang beliau sebagai seorang yang baik hati dan penyayang serta tidak pernah gagal untuk menaikkan semangat mereka.

Ramai yang menitiskan air mata dalam upacara pengebumian yang diadakan berdekatan rumahnya di sini, Khamis.

Punch, atau nama sebenarnya Gunalan Panchacharan, bertarung dengan penyakit kanser hati dan meninggal dunia pada usia 68 tahun, Rabu.

Beliau terkenal sebagai seorang pemain dan jurulatih yang berjaya.

Beliau juga dikagumi kerana kemahiran mentadbir dan sifat kepimpinan.

Jenazah beliau telah dibawa ke krematorium Kampung Tunku pada pukul 3 petang.

Anak didik Punch Cheah Soon Kit, yang merupakan sebahagian daripada pasukan yang memenangi Piala Thomas 1992, tertekan dan menangis sehingga majlis berakhir.

Menyatakan rasa terima kasih kepada Punch kerana membimbingnya, Cheah berkata mereka adalah sahabat bertahun-tahun lamanya.

"Setiap kali saya kalah atau rasa kecewa, beliau akan menggalakkan saya. Beliau adalah seorang yang berdedikasi yang suka kepada sukan badminton," katanya.

Bekas pemain kebangsaan Wong Choon Hann berkata Punch adalah seorang tokoh bapa kepadanya, sambil menambah bahawa beliau adalah seorang yang periang dan ceria serta suka bergurau.

"Saya telah mengenali beliau sejak saya berusia 11 atau 12 tahun.

"Pastinya beliau yang membantu membentuk saya menjadi pemain badminton," katanya.

Kawan rapat Punch, Karen Koh, yang merupakan bekas Ketua Pegawai Operasi Gabungan Badminton Asia jelas kelihatan emosi.

"Dia adalah kawan terbaik saya. Saya ingin melawat beliau pada pagi Rabu kerana saya tidak dapat melakukannya beberapa hari lalu.

"Hanya itulah yang saya kesalkan," katanya.

Bekas Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Roland Wong menyifatkan Punch sebagai "ketua strategis" yang membantu badminton Malaysia mendapat tempat di peta dunia.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sedih dengan pemergian Punch, menekankan beliau akan sentiasa diingati sebagai wira.

"Perbezaan antara atlet yang baik dan hebat ialah keupayaan memberi inspirasi.

"Apa yang paling penting sekarang ialah semangat kesukanan beliau yang sentiasa membakar semangat juang orang lain," katanya.

Beliau juga menyerahkan sumbangan RM11,000 daripada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan kepada ahli keluarga Punch.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Zolkpes Embong memuji Punch yang membantu meningkatkan tahap daya saing sehingga ke tahap sukan Olimpik.

Artikel Sebelum

Warga Iran Maut Ditikam

Artikel Lain